SASTERA MELAYU MEMBINA TERAS IDENTITI BANGSA |
Author : Azhar Hj.Wahid, Fathin Noor Ain Ramli |
Abstract | Full Text |
Abstract :Kertas kerja ini merupakan dapatan daripada penelitian tekstualiti tentang keupayaan Sastera Melayu, khususnya komsas di sekolah untuk membina teras identiti bangsa yang merujuk kepada pelajar. Teks komsas Cinta Mutawakkil, Hipertensi dan Gerhana Manusia dalam antologi Sejadah Rindu telah dijadikan panduan untuk merungkai teras identiti bangsa dengan menggunakan pendekatan moral. Penelitiannya membuktikan bahawa para pelajar beranggapan bahawa pembacaan terhadap bahan bacaan sastera yang telah mereka pelajari dalam komsas dapat mempengaruhi mereka membina identiti yang berteraskan sopan santun dan beretika. Sopan santun pelajar boleh dilihat dari kesantunan berbahasa yang merujuk kepada nilai sopan, melibatkan pertuturan yang elok, halus dan indah serta sikap yang memancarkan budi pekerti mulia. Manakala etika seseorang pelajar boleh difokuskan tentang tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar, terhadap ibu bapa, sebagai seorang remaja dalam sosial masyarakat dan juga etika terhadap guru dan pihak sekolah. Etika dijadikan sebagai landasan dalam kehidupan mereka yang mengarahkan secara total akan kebaikan dan menjadikan mereka sebagai insan yang sempurna. Nilai dan pengajaran yang begitu sarat ditekankan dan cuba disampaikan oleh pengarang sama ada melalui plot jalan cerita, watak dan perwatakan ataupun latar seperti masa dan masyarakat yang melatari kisah sesebuah karya sangat membantu mereka untuk membina teras identiti yang beretika. |
|
CIRI-CIRI JAKU SEMA DAN JAKU SILUP DALAM PENGAJARAN BUNGAI JAKU |
Author : Chemaline Osup, Elizabeth Janie Silai |
Abstract | Full Text |
Abstract :Artikel ini meninjau ciri-ciri jaku sema dan jaku silup dalam pengajaran Bungai Jaku. Jaku sema ialah ungkapan yang digunakan untuk membandingkan sesuatu keadaan bagi memudahkan pembaca faham terhadap perkara yang diterangkan dan jaku silup ini dituturkan bagi mengelakkan diri daripada ditimpa sebarang masalah. Penyelidikan ini dibuat bagi mengatasi masalah utama dalam kalangan ahli masyarakat Iban iaitu tidak dapat mengenal pasti ungkapan jaku sema dan jaku silup dalam bungai jaku. Selain itu, pemahaman mesej yang ingin disampaikan oleh kedua-dua ungkapan juga amat berbeza. Kaedah yang digunakan untuk mendapatkan data ialah kaedah kepustakaan, kaedah lapangan dan kaedah pemerhatian. Kaedah kepustakaan dijalankan untuk mengumpul data-data yang penting. Kajian rintis dijalankan untuk memperbaiki kelemahan borang senarai semak melalui temu duga bersama 23 orang responden. Seterusnya, kajian pemerhatian dijalankan ke empat buah sekolah dan 80 orang pelajar dijadikan responden. 15 soalan berkaitan dengan ciri-ciri jaku sema dan jaku silup disediakan dan perlu diisi oleh responden. Dapatan kertas kerja menunjukkan bahawa terdapat empat ciri-ciri jaku sema yang telah dikenal pasti. Misalnya, membandingkan keadaan dalam ungkapan, mesej yang disampaikan mudah difahami, bermula dengan kata banding asai, baka, enda dan munyi di pangkal ayat serta mudah dikenal pasti. Sebaliknya, jaku silup ialah ungkapan yang mempunyai erti yang bersembunyi, berteka-teki, digunakan di tempat berpenghuni, untuk mengelakkan malapetaka dan kecelakaan. Bagi persamaan pula, kedua-duanya merujuk kepada sesuatu yang spesifik, mempunyai maksud tertentu, menerapkan cara hidup manusia, terdiri daripada frasa-frasa figuratif dan terdiri daripada sepatah dua perkataan sahaja. Justeru, dengan adanya kajian seumpama ini ia boleh menambahkan bilangan bahan ilmiah jaku sema dan jaku silup dan jumlah penyelidik yang mengkaji kepelbagaian bahasa terutamanya bahasa Iban di Sarawak. |
|
KESANTUNAN PANTUN MELAYU SARAWAK |
Author : Hamsiah Juki, Che Ibrahim Salleh |
Abstract | Full Text |
Abstract :Kesantunan telah menjadi darah daging dalam budaya dan kehidupan orang Melayu. Kesantunan bukan sahaja dapat dilihat dari aspek kehidupan biasa seperti dalam ujaran lisan tetapi juga dapat dilihat dalam penulisan khasnya yang berkaitan dalam penghasilan pantun. Pantun Melayu Sarawak khasnya adalah pantun yang digunakan semasa bermukun dalam masyarakat Melayu Sarawak sejak dahulu lagi terutama semasa majlis perkahwinan,majlis menyambut orang besar dan sebagainya.Penggunaan wacana yang ada dalam pantun Melayu Sarawak memperlihatkan kesantunan yang terdapat dalam masyarakat Melayu Sarawak. Objektif kajian ialah mengenal pasti bentuk pantun Melayu Sarawak, membincangkan unsur kesantunan dalam pantun Melayu Sarawak dan merumuskan kesantunan pantun Melayu Sarawak dari segi makna asal dan makna kiasan. Sebanyak 35 rangkap pantun yang dipilih hasil kajian yang dijalankan di beberapa buah kampung dan mendapati bahawa Kampung Sejaie salah sebuah kampung yang terletak di Kota Samarahan masih mengamalkan budaya bermukun yang menggunakan pantun sebagai bahan utama semasa bermukun. Bermukun telah lama diamalkan tetapi sejak kebelakangan ini budaya tersebut semakin menipis dalam kalagan masyarakat dan menarik minat pengkaji untuk menjalankan kajian yang lebih berfokuskan unsur santun yang digunakan dalam pantun tersebut bagi mengekalkan budaya dan khazanah lama yang semakin lapuk dek zaman. Pantun yang dihasilkan adalah lebih kepada penggunaan dialek Sarawak yang mempunyai makna yang berbeza da nada yang sama dengan makna yang digunakan dalam bahasa Melayu namun kajian juga melihat makna tersirat atau kiasan yang terdapat dalam penggunaan perkataan dalam pantun tersebut. |
|
NILAI ISLAM DALAM TEKS MISA MELAYU |
Author : Kasmaizun Enuni Mohd Sarji; Kamariah Kamarudin |
Abstract | Full Text |
Abstract :Nilai Islam amat penting untuk diterapkan dalam diri setiap manusia yang beragama Islam supaya manusia akan sentiasa berada di landasan yang benar iaitu jalan yang diredai oleh Allah SWT. Justeru, Raja Chulan menerusi hikayatnya iaitu Misa Melayu telah memaparkan nilai Islam supaya dapat dijadikan panduan dan pengajaran dalam kehidupan manusia. Oleh hal yang demikian, satu kajian dijalankan untuk mengenalpasti dan menganalisis nilai Islam dalam hikayat Misa Melayu dengan mengaplikasikan teori Takmilah. Kajian ini menggunakan kaedah kepustakaan dan kaedah analisis teks. Dapatan kajian menemui aspek penting dalam kerangka pemikiran keagamaan iaitu akidah, ibadah dan akhlak. Dari aspek akidah, ditemui satu nilai iaitu kepercayaan kepada Qada’ dan Qadar. Di samping akidah, pemikiran ibadat seperti menunaikan solat lima waktu, doa dan khutbah serta pemikiran akhlak iaitu sedekah, menghormati golongan yang lebih tua dan adil turut ditemui. Kesemua aspek nilai Islam yang ditemui ini telah dianalisis menggunakan teori Takmilah dan memenuhi kesemua prinsip yang menunjukkan bahawa hikayat ini merupakan hikayat yang berunsur Islam yang berlandaskan kepada ketauhidan kepada Allah SWT. |
|
HISTORIOGRAFI MANUSKRIP JAWI NUSANTARA: ANALISIS SEJARAH DALAM `TUHFAT AL-NAFIS` DAN `SULALAT AL-SALATIN` |
Author : Makmur Haji Harun, Mohd Kasturi Nor Abd Aziz, Sitti Rachmawati Yahya |
Abstract | Full Text |
Abstract :anuskrip bertulisan Jawi merupakan kekayaan khazanah orang Melayu yang banyak menjadi rujukan pelbagai bidang ilmu termasuk bidang sejarah. Hal ini mendorong para intelektual dan ilmuan terdahulu menyusun pelbagai manuskrip untuk menjadi rujukan bagi generasi kemudiannya. Ada dua manuskrip Melayu yang banyak mengkaji sejarah iaitu Tuhfat al-Nafis dan Sulalat alSalatin sama ada dirujuk menjadi petunjuk sejarah mahupun tujuan dikaji, dibaca, difahami, ditulis, dipelajari dan sebagainya. Kedua manuskrip ini ditulis oleh dua tokoh hebat di Alam Melayu yang membuktikan bahawa kepengarangan orang Melayu dapat setanding dengan bangsa-bangsa lain di dunia sehingga karyakaryanya pun masih lagi dapat dilihat, dikaji, diteliti, dipelajari sehingga ke hari ini. Manuskrip Tuhfat al-Nafis karya Raja Ali Haji merupakan teks ungkapan sejarah yang tidak asing lagi bagi orang Melayu terutamanya dalam kalangan sejarawan pengkaji Kesultanan Johor-Riau Lingga dan Tanah Melayu. Manuskrip ini merupakan kitab sejarah terpenting dalam kesusasteraan Melayu selepas Sulalat al-Salatin karya Tun Sri Lanang seorang Bendahara Johor sekitar tahun 1612. Ketika itu, Johor diperintah oleh Sultan Alauddin Riayat Shah III (15971615). Realisasi teks kedua manuskrip ini dihasilkan lebih terkehadapan berbanding teks-teks lainnya yang sezaman dengannya dan penerapannya sangat panjang sehingga dapat dirasai sehingga kini. Fokus kajian tertumpu kepada perbandingan kedua manuskrip tersebut sama ada kelebihan dan kelemahannya masing-masing agar dapat berguna sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran di masa akan datang terutama dalam bidang sejarah. Objektif kajian ini ingin menganalisis secara mendalam pengungkapan sejarah silam yang telah dipaparkan oleh kedua penulisnya sebagai pembuktian mendasar pentingnya manuskrip-mansukrip Jawi lama untuk dikaji dan dipelajari. Metodologi kajian yang digunakan adalah analis perbandingan dan juga turut dikembangkan melalui kajian perpustakaan. Sedangkan inflikasi kajian ini diharapkan dapat menjadi aras dan identiti tersendiri bagi orang Melayu melalui penerimaan mereka terhadap pelbagai manuskrip Jawi lama sekali gus menjadi warisan khazanah bangsa Melayu di Nusantara dari semasa ke semasa. |
|
NILAI KEPIMPINAN PEMBESAR EMPAYAR MELAYU MELAKA KAJIAN BERASASKAN TEKS SULALATUS SALATIN |
Author : Maryam Syafiqha Mohd Sayuti, Jamilah Omar |
Abstract | Full Text |
Abstract :Kajian ini menganalisis nilai-nilai murni yang berfokus kepada nilai kepimpinan yang dimiliki oleh pembesar-pembesar Melaka berasaskan teks Sulalatus Salatin. Tiga objektif yang telah ditetapkan iaitu mengenalpasti sejauh mana nilai kepimpinan yang diterapkan mampu meninggalkan kesan yang mendalam dalam teks Sejarah Melayu, menganalisis nilai-nilai kepimpinan yang dinyatakan dalam teks Sulalatus Salatin dan mengkaji peranan nilainilai kepimpinan dalam mempertingkatkan modal insan menerusi pembacaan secara teliti teks Sulalatus Salatin. Perbincangan dalam kajian ini akan tertumpu kepada nilai-nilai kepimpinan yang dimiliki oleh beberapa pembesar dalam karya agung Sulalatus Salatin serta dikaitkan dengan pemerintahan masa kini bagi membangunkan negara bangsa. Seperti yang diketahui, masyarakat Melayu pada zaman dahulu memegang konsep tidak akan menderhaka kepada raja. Tidak kurangnya ketaatan rakyat kepada pembesar amatlah penting. Justeru, golongan pembesar ini dapat mengukuhkan kedudukan dan kekuasan mereka.Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah kepustakaan sepenuhnya iaitu menjadikan buku-buku, jurnal, artikel dan yang paling utamalah adalah teks Sulalatus Salatin. Amat penting bagi kajian ini melihat kembali ciri-ciri kepimpinan yang ada pada pembesar pada zaman Melayu Melaka agar masyarakat tidak memandang rendah terhadap kepimpinan terdahulu. Ciri-ciri ini sangat penting menjadi penanda aras bagi pembesar yang dapat mentadbir degan baik dan akan mewujudkan rasa taat dan setia rakyat kepada raja yang menjadikan empayar Melaka sentiasa kukuh dan digeruni oleh musuhnya. Ciri-ciri kepimpinan yang diperlihatkan dalam kajian ini dapat dijadikan sebagai iktibar dan panduan dalam melahirkan modal insan yang taat dan setia kepada pemerintah. |
|
SULALATUS SALATIN SEBAGAI MEDIUM MENDIDIK NILAI MURNI |
Author : Siti Faridah Leong Abdullah, Bazrul Bahaman |
Abstract | Full Text |
Abstract :Makalah ini bertujuan untuk mengenal pasti peranan Sulalatus Salatin sebagai medium mendidik. Kajian ini dijalankan melalui kajian perpustakaan dan menganalisis kisah-kisah terpilih daripada teks sebagai metod utama. Kisah-kisah terpilih akan dianalisis mengikut landasan prinsip ketujuh teori Takmilah, iaitu Prinsip Khalayak; dengan berfokuskan sama ada kisah-kisah dalam Sulalatus Salatin bersifat didaktik dan menyampaikan nilai-nilai murni islamiah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa ksiah-kisah daripada Sulalatus Salatin mengandungi pengajaran mengenai nilainilai murni yang wajar diteladani. Di sini, jelas kisah Sulalatus Salatin boleh dijadikan bahan penyampai pengajaran untuk membimbing khalayak ke arah insan kamil. Kajian baru wajar dijalankan untuk menentukan bentuk penyampaian kisah Sulalatus Salatin yang mampu menarik minat generasi masa kini |
|
SHAMSUL BAHRAIN SEBAGAI WIRA LEGENDA DI BERUAS, PERAK |
Author : Norlizawati Md. Nor,Jelani Harun, Mohamad Luthfi Abdul Rahman |
Abstract | Full Text |
Abstract :Makalah ini membincangkan Hikayat Shamsul Bahrain sebagai salah sebuah karya histirografi bagi mengangkat kedudukan Shamsu’l Bahrain sebagai wira legenda di Beruas, Perak. Hikayat Shamsu’l Bahrain berkisar tentang kehidupan Shamsul Bahrain daripada kecil sehingga dewasa namun, kehebatan dan sifat kepahlawanan beliau merupakan asas yang paling utama ditonjolkan oleh pengarang. Menelusi isi kandungan Hikayat Shamsul Bahrain, Shamsul Bahrain atau juga disebut Qamarul Bahrain digambarkan sebagai anak raja handal yang dapat menewaskan semua musuh sama ada anak raja, jin, peri, hantu dan sebagainya. Sehingga ke hari ini cerita tentang ketokohan Shamsul Bahrain masih disebarkan melalui tradisi lisan oleh masyarakat setempat walaupun amat sukar dibuktikan tanpa adanya naskhah-naskhah dan sumber rujukan. Sesungguhnya, amat sukar menemukan naskhah yang dapat dikaitkan dengan ketokohan Shamsul Bahrain sebagai wira legenda di Beruas, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan sebuah penulisan yang kursus tentang sejarah awal kerajaan Beruas. Penemuan naskhah Hikayat Shamsul Bahrain dan sudut pandangan R.O Winstedt dan T. Bottom terhadap hubung kait antara Hikayat Shamsu’l Bahrain dengan kerajaan Beruas telah membuka ruang dalam kajian ini bagi membuktikan Shamsu’l Bahrain sebagai wira legenda di Beruas sebagai sumber bertulis. Kewujudan makam, bukit dan beberapa tempat lagi yang terdapat di Beruas, Perak dapat dikaitkan dengan identiti Shamsul Bahrain seharusnya diberi perhatian sewajarnya kerana tradisi kelisanan ini telah membentuk budaya dan kepercayaan masyarakat di Beruas yang diwarisi daripada tradisi leluhur nenek moyang mereka. Justeru, kajian ini akan cuba mengetengahkan kedudukan Shamsul Bahrain sebagai wira legenda Beruas berdasarkan analisis terhadap Hikayat Shamsul Bahrain dengan disokong dengan sumber-sumber lisan bagi melebarkan hubung kait sejarah awal kerajaan Beruas dengan ketokohan Shamsu’l Bahrain. |
|
KAWASAN SEJARAH DARI PERSPEKTIF BUDAYA DALAM TEKS `SULALATUS SALATIN SEJARAH MELAYU` DAN `MISA MELAYU` |
Author : SitiRabiatul Adawiah Jaffar, Arba’ie Sujud Salmah Jan Noor Muhammad |
Abstract | Full Text |
Abstract :Kawasan sejarah merupakan cabang warisan budaya ketara statik yang terhasil berdasarkan tinggalan sejarah sama ada hasil manusia atau hasil semula jadi, atau gabungan antara keduanya. Kawasan berkenaan juga digambarkan sebagai kawasan penempatan, yang di dalamnya terkandung pelbagai ciri terutamanya budaya dalam memperlihatkan fungsinya kepada masyarakat khalayak. Perihal kawasan sejarah ini dikenal pasti turut terkandung di dalam teks historiografi, seperti Sulalatus Salatin Sejarah Melayu dan Misa Melayu. Justeru, bagi mengetengahkan gambaran kawasan sejarah pada teks berikut, penelitian akan dijalankan dalam mengenal pasti kawasan sejarah dalam teks Sulalatus Salatin dan Misa Melayu serta menganalisis fungsinya terhadap masyarakat Melayu. Kaedah kajian adalah analisis teks dengan mengaplikasikan teori Kebudayaan Malik Bennabi yang berfokus kepada salah satu unsur, iaitu unsur teknologi. Hasil penelitian, mendapati kawasan sejarah dibina dengan gabungan dua komponen penting, dengan membawa fungsi-fungsi tertentu, menganjur kepada gambaran identiti masyarakat Melayu. |
|
ETNOSENTRISME: KEPENGARANGAN DALAM SYAIR PERANG MELAYU NUSANTARA |
Author : Zubir Idris |
Abstract | Full Text |
Abstract :Kepengarangan dalam syair-syair perang sesungguhnya memperlihatkan satu usaha bagaimana pengarangnya dengan cara yang kreatif mengembalikan wibawa masyarakat yang diwakilinya, sebagai tindakbalas terhadap konflik yang tercetus akibat kedatangan pihak penjajah. Artikel ini bertujuan memperkatakan tentang kepengarangan dalam beberapa syair perang pilihan seperti Syair Perang Mengkasar, Syair Peperangan Aceh dan Syair Perang Menteng. Artikel ini memanfaatkan model oleh William Graham Sumner yang mentakrifkan etnosentrisme sebagai kecenderungan menilai kebudayaan sendiri lebih tinggi daripada kebudayaan orang lain sebagai kerangka penulisan. Analisis intrinsik berdasarkan aspek kekuatan kebahasaan turut diteliti untuk meneliti bagaimana ia diajukan oleh pengarang bagi mengangkat etnosentrisme etnik Melayu Nusantara. Dapatan dalam artikel ini adalah, pengarang syair perang cenderung mengangkat etnosentris peribumi Melayu Nusantara (Makasar, Aceh dan Palembang) pada kedudukan yang tinggi dengan menggunakan kekuatan bahasa. Pemilihan diksi yang tepat selain penggunaan metafora, perbandingan dan perlambangan dalam syair-syair ini menjelaskan kesediaan mempertahankan maruah, Persatuan Penulis Budiman Malaysia Budiman Writers Association of Malaysia taat setia kepada raja/pemerintah, cintakan tanah air, bersemangat patriotisme dan pegangan agama yang kukuh sebagai asas bagi pengarang Melayu dalam mengangkat etnosentris mereka pada kedudukan yang tinggi dalam karya mereka. |
|