SEJARAH PENDIDIKAN BAHASA MELAYU DI PATANI SELATAN THAI |
Author : Phaosan Jehwae |
Abstract | Full Text |
Abstract :Sejarah pendidikan bahasa Melayu di Patani, Selatan Thai mengalami pasang surut tergantung perkembangan politik di Thailand. Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa terpenting di Patani dan digunakan dalam pelbagai situasi baik rasmi mahupun tidak rasmi. Bahasa Melayu menjadi bahasa penting dalam sistem pendidikan pondok. Sejak Patani jatuh di bawah pemerintahan Siam, kemudian diubah kepada nama Thailand, bahasa Melayu mengalami perubahan sehingga kualiti menurun. Bahasa Melayu bukan menjadi bahasa utama dalam sistem pendidikan di Patani, tetapi sekadar menjadi salah satu subjek dalam kurukulum Islam yang diajar di sekolah kerajaan dan menjadi salah satu subjek wajib di sekolah pondok Patani. Walau bagaimanapun, perjuangan untuk memartabatkan pendidikan bahasa Melayu tidak pernah sunyi. Pada akhir-akhir tahun 2000, yang merupakan era kebangkitan, pendidikan bahasa Melayu mulai diperhatikan oleh semua golongan termasuk juga kerajaan Thai. Kerajaan Thai telah membuka peluang yang agak luas dalam penggunaan bahasa Melayu, seperti dalam siaran radio dan televisyen, papan iklan, rancangan kursus bahasa Melayu, peruntukan untuk tenaga pengajar bahasa Melayu di beberapa universiti. Malah rancangan Persatuan Penulis Budiman Malaysia Budiman Writers Association of Malaysia sekolah dwibahasa telah pun dilaksanakan di tiga wilayah Selatan Thai. |
|
PENGUASAAN GOLONGAN KATA DALAM KALANGAN MURID SJKT |
Author : Sivaneswary Sivaratanam |
Abstract | Full Text |
Abstract :Kajian ini memfokuskan penguasaan golongan kata dalam kalangan murid SJK (T). Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti dan menganalisis penguasaan kemahiran tatabahasa khususnya golongan kata BM murid SJK (T). Skop kajian merangkumi penguasaan golongan kata BM tahap satu. Objektif kajian ini ditentukan melalui satu ujian yang merangkumi 30 soalan tatabahasa berdasarkan kemahiran yang disenaraikan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi Tahap 1. Model Pengajaran Berkesan oleh Slavin (1994) digunakan sebagai landasan kajian ini. Kajian ini menggunakan kaedah kepustakaan, pemerhatian, temu bual dan tinjauan lapangan. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah ujian penilaian kemahiran tatabahasa. Pengkaji telah memilih 15 golongan kata dalam membina soalan tatabahasa Tahap I untuk diuji dalam kalangan 50 orang murid Tahap II, iaitu darjah lima. Data dianalisis secara kuantitatif dan kualitatif. Data menunjukkan bahawa kemahiran sistem tatabahasa tahap satu kurang dikuasai oleh murid tahap dua. Hal ini terbukti apabila murid darjah lima tidak dapat menjawab sistem tatabahasa yang kosa katanya diuji daripada buku teks yang telah dipelajari dalam tahap satu. Hampir 60% daripada keseluruhan responden gagal mendapat betul dalam ujian penilaian kemahiran tatabahasa yang telah diadakan. |
|
TERAPAN KONSEP FEMINISME TALBIAH DALAM CERPEN AKAR CINTA KARYA AMINAH MOKHTAR |
Author : Ida Roziana Abdullah, Abdul Halim Ali |
Abstract | Full Text |
Abstract :Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis ciri-ciri perwatakan wanita Melayu Islam dalam cerpen Akar Cinta karya Aminah Mokhtar. Analisis ini dilakukan berasaskan Konsep Feminisme Talbiah. Konsep Feminisme Talbiah adalah satu konsep yang dibangunkan bagi memperjelaskan konsep feminisme yang lebih sesuai dengan wanita Melayu Islam berbanding dengan konsep Feminisme Ginokritik. Konsep Feminisme Talbiah menggabungkan idea Ginokritik oleh Elaine Showalter dengan idea Yusuf al-Qardhawi berkait dengan kedudukan wanita dalam Islam. Konsep Feminisme Talbiah memfokuskan kepada aspek kepatuhan dan penyerahan wanita kepada Allah SWT baik dari sudut luarannya mahupun dalaman. Aspek luaran wanita terdiri daripada personaliti, ketakwaan dan budaya manakala aspek dalaman pula terdiri daripada psikologi dan kerohanian. Dapatan analisis ini menunjukkan aspek-aspek luaran watak wanita `Aku` sejajar dengan kriteria wanita talbiah yang patuh dan menyerah diri kepada Allah SWT dalam setiap tindakan berlandaskan hukum Islam, mempertahankan kesucian agama Islam, tetap pendirian serta tidak memandang serong kepada individu yang melakukan kesilapan. Dari sudut dalaman pula, watak ‘Aku’ digambarkan mempunyai kekuatan rohani serta memiliki peribadi yang cemerlang sebagai manusia yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Ini terbukti apabila watak ‘Aku’ menjadikan syariat dan hukum-hakam Islam sebagai perjuangan untuk menangani kemungkaran yang menular dalam kalangan umat Islam. Watak ‘Aku’ dapat dirumuskan sebagai ikon wanita Melayu Islam yang bersifat talbiah dari sudut luaran dan dalaman kepada Allah SWT dalam semua tindak tanduknya. |
|
PEMBINAAN KANDUNGAN MODEL PROTOTAIP FALSAFAH BAHASA PENYATUAN BANGSA: KESEPAKATAN PAKAR |
Author : Mohd Khaidir Abdul Wahab |
Abstract | Full Text |
Abstract :Kajian ini berfokus kepada proses membina kandungan Model Prototaip Falsafah Bahasa Penyatuan Bangsa berdasarkan analisis terhadap 23 orang panel pakar. Gabungan kaedah kuantitatif dan kualitatif diimplimentasikan dalam kajian ini menggunakan teknik Delphi. Seramai 23 orang pakar dalam bidang falsafah bahasa, bahasa Melayu, Pendidikan, Sosiologi dan Sosiobudaya telah dipilih untuk menjadi informan kajian ini. Pada pusingan pertama kajian ini dijalankan melalui protokol temu bual untuk mendapatkan pandangan pakar dalam bidang falsafah bahasa tentang elemen falsafah bahasa yang dijangkakan berpotensi untuk penyatupaduan nasional. Dapatan dari pusingan pertama ini akan disusun secara tematik sebelum dihantar kepada informan untuk pusingan kedua dan ketiga yang terdiri daripada pakar dalam bidang bahasa Melayu, Pendidikan, Sosiologi dan Sosiobudaya. Dapatan daripada pusingan kedua dan ketiga adalah untuk persatuan mendapatkan median dan Julat Antara Kuartil (JAK). Dapatan kajian ini menunjukkan 7 tema dan 35 elemen falsafah bahasa untuk penyatupaduan nasional telah dibentuk dan disepakati oleh 23 orang pakar setelah melalui tiga pusingan Delphi. Pada keseluruhannya dapatan berkaitan jangkaan terhadap tema dan elemen falsafah bahasa yang berupaya untuk mewujudkan penyatupaduan nasional dalam Pembelajaran dan Pemudah Cara (PdPc) bahasa Melayu ini mampu memperluaskan skop dan peranan falsafah bahasa daripada bidang yang hanya berfokus kepada pendidikan bahasa kepada usaha penyatupaduan nasional dengan lebih jitu kerana ianya mencapai kesepakatan yang tinggi dalam kalangan pakar yang berlainan bidang tetapi menjurus kepada matlamat yang sama. |
|
PERUBAHAN PERSEKITARAN MEMPENGARUHI KANAK-KANAK DALAM NOVEL TERPILIH |
Author : Rohayati Junaidi, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali, Madiawati Mamat @ Mustaffa |
Abstract | Full Text |
Abstract :Kajian ini bertujuan untuk menganalisis novel Memori Atikah (2002) dan novel Umairah dan Kuda Putih (2008) berdasarkan perubahan persekitaran yang berlaku dalam kehidupan kanakkanak. Penghasilan novel kanak-kanak bukan sahaja sebagai bahan bacaan semata-mata tetapi mengalas satu peranan besar, iaitu sebagai medium dalam melihat persekitaran yang memainkan peranan penting terhadap perkembangan psikologi kanak-kanak. Tumbesaran kanak-kanak menjadi tanggungjawab bersama-sama masyarakat bagi melahirkan kanak-kanak yang berkembang seimbang emosi, rohani dan jasmani. Oleh itu, novel kanak-kanak dapat dijadikan sumber rujukan dalam mengangkat dan merungkai permasalahan berkaitan perubahan persekitaran secara menyeluruh sama ada perubahan normal atau tidak normal yang memberi kesan postif dan negatif kepada kanak-kanak. Berdasarkan persekitaran yang melingkungi kanak-kanak dalam novel, didapati perubahan persekitaran tidak normal dominan dalam mempengaruhi perkembangan kanak-kanak. Kajian ini menganalisis perubahan persekitaran tidak normal dalam novel dengan menggunakan salah satu prinsip dalam Teori Ekologi Bronfenbrenner (1986), iaitu kronosistem bagi menganalisis teks pilihan. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini kaedah kepustakaan dan analisis kandungan teks. Dapatan analisis memperlihatkan bahawa perpindahan tempat tinggal dan kematian ahli keluarga mempengaruhi perkembangan sahsiah, tingkah laku dan emosi kanak-kanak. Kesimpulannya, berdasarkan analisis yang dilakukan memperlihatkan bahawa perubahan yang berlaku sepanjang kehidupan kanak-kanak memberikan kesan yang mendalam terhadap perkembangan psikologi kanak-kanak. |
|
UNSUR METAFORA DALAM PUISI LISAN TRADISIONAL KADAZANDUSUN |
Author : Norjietta Julita Taisin |
Abstract | Full Text |
Abstract :Puisi lisan merupakan salah satu tradisi lisan kaum Kadazandusun di Sabah yang lazimnya dinyanyikan secara solo mahupun berpasangan sama ada mengandungi elemen tarian, muzik ataupun tidak. Sebahagian elemen yang menonjol dalam genre lisan kaum Kadazandusun adalah sudawil (pantun) yang tergolong dalam kategori puisi lisan tradisional. Oleh kerana kehidupan masyarakat lama Kadazandusun amat peka kepada alam semula jadi sebagai sumber ekonomi, maka banyaklah pantun yang dicipta berkait rapat dengan kehidupan persekitaran mereka yang lebih berunsurkan nasihat, teguran dan sindiran kepada anak-anak mereka khasnya generasi muda pada suatu ketika dahulu. Perbincangan ini diusahakan untuk meneliti unsur metafora yang terdapat dalam puisi lisan tradisional Kadazandusun yang telah diselarikan dengan aliran metafora kognitif yang dipelopori oleh Lakoff dan Johnson. Hasil kajian ini mendapati bahawa bahasa dalam puisi lisan tradisional khasnya pantun mempunyai makna yang tersirat dan tersurat atau mempunyai unsur metafora. Yakni, bahasa yang diungkapkan itu adalah produk budaya dan sekaligus wadah penyampai kebudayaan dari masyarakat penggunanya. |
|
KEHADIRAN PEMIKIRAN ANWAR RIDHWAN DARI SUDUT KEKUASAAN POLITIK DALAM DRAMA `YANG MENJELMA DAN MENGHILANG` |
Author : Nur Muhamad Shahir Ayob |
Abstract | Full Text |
Abstract :Terbentuknya pemikiran pengarang daripada hasil kehadiran pengalaman yang dilalui secara langsung mahupun secara tidak langsung. Pengalaman boleh menghasilkan lintasan-lintasan pemikiran bergema dalam kesedaran pengarang yang mengembang dan mematang serta dijelmakan ke dalam bentuk teks kreatif. Hal ini, Teks drama pentas Yang Menjelma dan Menghilang karya Anwar Ridhwan adalah pilihan kajian penyelidikan. Tujuan kajian ini adalah untuk menganalisis pemikiran pengarang dari sudut politik yang terkandung dalam teksnya. Landasan kajian ini menggunakan prinsip kehadiran dalam teori Teksdealisme oleh Mana Sikana. Kehadiran pemikiran politik pengarang berdasarkan konsep kekuasaan seperti pengaruh (influence), persuasi (persuasion), manipulasi, force dan authority. |
|
KEUNGGULAN IKON MEMBAWA TELADAN DALAM SELOKA MELAYU |
Author : Nordiana Ab Jabar |
Abstract | Full Text |
Abstract :Karya sastera tradisional Melayu sarat dengan pengkisahan individu yang penuh dengan pengajaran dan menjadi sebutan dari nenek moyang dahulu sehingga ke cucu cicit kini. Satu antaranya ialah seloka; yang tujuan asalnya dicipta untuk hiburan dengan mengetengahkan ikon yang penuh humor. Kajian yang dilakukan ini adalah berkaitan dengan watak dalam Seloka Melayu yang boleh menjadi ikon teladan kepada khalayak. Kajian ini juga dijalankan dengan menggunakan kaedah perpustakaan melalui penelitian bahan seperti artikel, buku, majalah dan tesis. Makalah ini bertujuan untuk menjelaskan fungsi seloka dalam memberikan imej baik kepada khalayak. Selain itu untuk mengangkat ikon teladan dalam seloka Melayu dari satu sudut pandang yang baik. Teori sastera faedah akan digunakan sebagai kayu ukur kepada dapatan kajian dalam makalah ini. Hasil kajian mendapati setiap ikon dalam seloka ini membawa impak yang baik kepada penciptaan jati diri dan tingkah laku sosial yang baik kepada khalayak. |
|
GAYA KEIBUBAPAAN DALAM NOVEL KOMSAS `SUKAR MEMBAWA TUAH` DAN `MERENANG GELORA` BERDASARKAN ANALISIS TEKSDEALISME |
Author : Ruziwati Abu Samah |
Abstract | Full Text |
Abstract :Makalah ini meneliti gaya keibubapaan dalam novel komsas sebagai satu saluran mendidik yang berkesan dan dapat mempengaruhi pembentukan sahsiah remaja. Novel Sukar Membawa Tuah dan Merenang Gelora, telah dijadikan panduan untuk merungkai permasalahan remaja dengan menggunakan Teori Teksdealisme. Teori teksdealisme menekankan prinsip kehadiran, pelanggaran, pengukuhan dan keunggulan. Faktor persekitaran sosial dikenalpasti sebagai permasalahan yang cukup signifikan dalam pembentukan jati diri individu oleh ibu bapa. Kajian ini telah menemukan beberapa dapatan bahawa novel komsas yang menggunakan gaya keibubapaan memainkan peranan yang luas dalam pembentukan tingkah laku dan emosi anak-anak. Selain itu, hasil kajian mendapati gaya asuhan yang bersifat penolakan daripada ibu bapa mereka akan menyebabkan remaja terabai dan terjebak dengan delinkuensi manakala ibu bapa yang sering menghargai dan sentiasa menyokong anak-anak akan memberi peluang anak-anak berkongsi pendapat dengan ibu bapa mereka dan meningkatkan keyakinan diri mereka. Implikasi kajian ini dengan jelas membuktikan bahawa gaya keibubapaan memainkan peranan penting kepada pembentukan sahsiah remaja yang unggul seperti yang diaspirasikan oleh negara. |
|
NALURI KEMASYARAKATAN DALAM PENCIPTAAN KUMPULAN CERPEN `SONG OF SEPTEMBER` KARYA MALIM GHOZALI PK. |
Author : Ghazali Din |
Abstract | Full Text |
Abstract :Pengarang kreatif, Malim Ghozali Pk terkenal dalam genre cerpen dan novel yang kebanyakan ideanya terhasil semasa mengembara di luar negara. Sumbangannya diiktiraf hingga pernah menerima Anugerah SEA Write Award dari kerajaan Thailand. Bagaimanapun, karya kreatif Malim Ghozali Pk tidak diberi perhatian oleh mana-mana pengkaji untuk dianalisis secara ilmiah. Justeru, situasi ini menjadi permasalahan yang mendorong kepada kajian ini dibuat dan menggunakan Teori Sastera Perjalanan atau Pengembaraan dan Model Proses Kreatif Teksnaluri. Kajian ini bertujuan mengkaji naluri kemasyarakatan disebabkan pengembaraan yang mendorong pengarang Malim Ghozali PK menghasilkan cerpen dalam Kumpulan Cerpen `Songs of September`. Kumpulan cerpen ini mengandungi 20 buah cerpen, namun hanya enam sahaja cerpen dianalisis. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif, iaitu kajian kepustakaan dan analisis teks melalui Teori Sastera Perjalanan atau Pengembaraan dan naluri kemasyarakatan berdasarkan Model Proses Kreatif Teksnaluri. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa Malim Ghozali Pk adalah seorang pengarang kreatif yang memaparkan naluri kemasyarakatan dalam menghasilkan cerpen melalui pengalaman yang diperolehnya ketika melakukan pengembaraan. Cerpen yang bertajuk “Aku di Sini, Sayang”, “Tika Hujan di Bogor”, “Di Kantor Suryadi”, “Nyet” dan “Song Of September” menjadi fokus utama pengkaji untuk mencungkil naluri kemasyarakatan pengarang Malim Ghozali PK. Secara keseluruhannya, boleh dikatakan bahawa cerpen Malim Ghozali PK ini mencerminkan kehidupan yang pernah dilalui ketika pengarang melakukan pengembaraan di luar negara. |
|